BANGI: Kerajaan Sarawak sedang mencari tapak sesuai untuk membina bangunan bagi menempatkan anak watan Bumi Kenyalang yang menuntut di sekitar Kuala Lumpur.
Perkara ini dinyatakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, sebaik tapak sudah dikenal pasti, bangunan akan dibina menggunakan peruntukan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
“Pemilihan lokasi tersebut juga perlu mengambil kira akses kepada pengangkutan awam bagi memudahkan pelajar pergi ke universiti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab sempena program Berambeh Anak Sarawak yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, semalam.
Sementara itu kata Abang Johari, Kerajaan Sarawak akan meneliti cadangan untuk menaja pelaiar fakulti perubatan di UKM dan meminta Kerajaan Sarawak untuk mengkaji kebolehlaksanaan kaedah tersebut.
Tambahnya lagi, pelajar yang ditaja perlu kembali untuk berkhidmat di Sarawak selepas menamatkan pengajian mereka.
Terdahulu, berucap pada Majlis Lawatan ke Galeri Sheikh Othman Sarawak dan Majlis Perasmian Fasiliti Kursi Wakaf Sheikh Othman Sarawak, Abang Johari menggesa UKM menjalankan penyelidikan dalam bidang biodiversiti.
Sumber dari : Jiwa Bakti